BERITA UTAMASELANGOR

EXCO: Ketengah pelbagai jenis sukan sempena Hari Sukan Negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Kerajaan Negeri berhasrat mengetengahkan pelbagai acara sukan kepada masyarakat, khususnya belia sempena meraikan Hari Sukan Negara, pada Oktober ini.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Hari Sukan Negara adalah program di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang diwujudkan sebagai usaha memajukan sukan di semua peringkat lapisan umur.

Di Selangor, katanya, selain daripada acara sukan yang biasa dianjurkan, pihaknya juga akan mengambil pendekatan berbeza dengan mengadakan himpunan khas buat penggemar kereta dan motosikal.

“Jadi, apa yang kita buat adalah dengan cara kita sendiri seperti program sukan luar bandar dijalankan baru-baru ini yang meliputi pelbagai acara sukan.

“Kita mahu mendekati rakyat dan memberi peluang kepada mereka untuk bersukan. Tidak semestinya sukan berprestasi tinggi sahaja, tetapi sukan rakyat lain seperti lari dalam guni.

“Malah, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyasarkan golongan belia untuk hadir bersama menjayakannya kerana kita mahu melaksanakan aktiviti disukai belia dan paling penting tidak ‘syok’ sendiri, apatah lagi di zaman milenial ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Semarak Ramadan Generasi Muda Selangor 2019, di Hotel De’Palma, di sini malam ini.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Eksekutif Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi; Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin; ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; wakil Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dan wakil mahasiswa termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia.

Mohd Khairuddin yang juga ADN Paya Jaras berkata, program seperti itu bertujuan memperkukuh hubungan ukhwah dan semangat muhibbah antara pemimpin, anak muda, mahasiswa serta NGO generasi muda.

Katanya, ia juga dianggap sebagai medan terbaik untuk membina jaringan selain bertukar-tukar buah fikiran, terutama dalam mencari idea menyemarakkan lagi aktiviti generasi muda, di Selangor.

“Program ini bukanlah hanya semata-mata memberi impak signifikan kepada generasi muda, akan tetapi perlu dilihat sebagai satu pendekatan menyemai benih kasih sayang dan memupuk nilai murni dengan meraikan anak yatim di bulan mulia ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan duit raya kepada beberapa anak yatim dari Rumah Aman dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Saujana Utama termasuk pelajar Maahad Tahfiz Darul A’raf, Klang serta Maahad Tahfiz Sulaimaniyah, Bukit Kapar, Meru.

Dalam majlis sama, replika cek berjumlah masing-masing RM1,000 juga diberikan kepada kedua-dua wakil pengurusan maahad tahfiz berkenaan.


Pengarang :