SELANGOR

EXCO Selangor rakam takziah buat keluarga Siti Kharina

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham Siti Kharina Mohd Kamaruddin, jururawat yang ditemui mati di sebuah unit kondominum di Cyberjaya pada 15 Mei lalu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri turut mengucapkan takziah kepada seluruh pasukan kesihatan Hospital Serdang atas kehilangan seorang Ketua Jururawat hospital berkenaan.

“Saya sangat percaya allahyarham adalah seorang jururawat yang bertanggungjawab dan komited dengan kerja beliau.

“Kerajaan Negeri juga percaya bahawa pasukan polis sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kes ini dan akan melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan kes ini.

“Kita mahu semua penjenayah ini diberi hukuman setimpal dengan perbuatan kejam mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, beliau juga mendoakan agar seluruh ahli keluarga mangsa, terutama suami dan anak-anak diberi kekuatan serta ketabahan dalam menjalani ujian terbabit.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.

“Semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” katanya.

Terdahulu, Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu, namun kemudiannya ditemui dibunuh di sebuah kondominium yang disewa mangsa di Cyberjaya.


Pengarang :