Facebook Malaysia komited bantu percepat ekonomi digital negara | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Facebook Malaysia komited bantu percepat ekonomi digital negara

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Facebook Malaysia komited untuk mengembangkan pelaburan tempatan dan membantu mempercepatkan transformasi digital negara melalui usaha tiga serampang.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata inisiatif itu termasuk program “Made by Malaysia, Loved by the World” (Buatan Malaysia, Disukai Dunia), yang dianjurkan oleh Facebook, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan platform perdagangan sosial, AVANA.

“Program ini telah membantu memperkasakan lebih daripada 1,000 perniagaan di tujuh bandar raya di Malaysia, untuk melengkapkan mereka dengan peralatan untuk mengeksport produk mereka dan menyediakan keupayaan dalam talian digital bagi pertumbuhan di luar sempadan Malaysia.


“Ini adalah program yang pertama seumpamanya di ASEAN, yang disasarkan untuk melibatkan dengan 1,000 lagi perniagaan menjelang akhir 2019,” kata syarikat itu sambil menambah DHL Express juga akan menyertai usaha ini.

Facebook Malaysia juga berkata, ia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan tempatan untuk menyokong usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi infrastruktur digital negara dengan pelancaran perintis pasaran ‘Terragraph’ berskala besar pertama di Georgetown, Pulau Pinang.

“Kami meningkatkan percubaan teknologi Terragraph di Malaysia dengan kerjasama penyedia perkhidmatan tempatan yang lain, termasuk penyediaan WiFi, akses tanpa wayar tetap serta aplikasi dan perkhidmatan bandar pintar.

“Percubaan yang akan datang ini akan berlangsung di Cyberjaya,” kata syarikat itu.

Ia juga berkata, Program ‘Facebook Community Leadership Circle’ akan dilancarkan pada akhir tahun untuk memperkasakan dan menyokong pemimpin komuniti Facebook yang memupuk dan mengukuhkan Kumpulan Facebook, yang mencatatkan lebih daripada 1.4 bilion pengguna setiap bulan.

Pengarah negara Facebook Nicole Tan berkata Malaysia penting kepada Facebook dengan lebih 23 juta rakyat Malaysia di platform itu setiap bulan, berhubung dengan keluarga, rakan, perniagaan dan komuniti.

“Ekonomi negara sedang melalui transformasi masyarakat dan digital, ditambah pula dengan dorongan besar bagi pertumbuhan perindustrian, inovasi teknologi dan keusahawanan.

“Ia sesuatu yang menarik untuk turut serta dalam perkara ini, dan kami membuat pelaburan dalam rakan kongsi, program, peluang dan orang-orang yang membantu kami mewujudkan kesan positif dalam komuniti mereka,” katanya.

Facebook Malaysia meraikan pembukaan ruang pejabat baharu yang diperluaskan di Q Sentral di sini, hari ini.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next