NASIONAL

FAMA jamin tiga bahan utama ketika Ramadan mencukupi

BUTTERWORTH, 4 MEI: FAMA hari ini memberi jaminan tiga bahan iaitu daging lembu, ayam dan kelapa, yang menjadi keperluan utama pengguna semasa musim Ramadan tahun ini adalah mencukupi.

Menyatakan demikian, Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata pihaknya juga akan memastikan bekalan bahan-bahan lain yang menjadi kepentingan pengguna pada bulan puasa serta pada hari raya nanti adalah mencukupi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran program My Best Pra Ramadan di Butterworth Art Walk di sini hari ini. Program itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Mengulas lanjut Ishak berkata program My Best Pra Ramadan telah dilancarkan di 174 lokasi seluruh negara dan FAMA telah mendapatkan maklum balas berhubung keperluan utama barang.

Program My Best Pra Ramadan itu adalah susulan dari program My Best Buy (MBB) 2.0 yang dilaksanakan FAMA secara keseluruhan bagi membantu rakyat di kawasan bandar menangani kesan kenaikan kos sara hidup

Ia berkonsepkan pasar pilihan rakyat yang menawarkan pelbagai produk pertanian dan bukan pertanian bagi keperluan setempat dengan harga yang istimewa dan berpatutan.

Ishak berkata pada 2018 sehingga akhir Mac tahun ini program MBB itu telah mengumpul nilai jualan sebanyak RM20.3 juta dan beroperasi di 182 lokasi secara tetap dan bermusim seluruh negara melibatkan 2,746 usahawan .

Ishak berkata pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM32 juta selepas ini menerusi program terbabit.

Di Pulau Pinang sahaja, hasil jualan menerusi program MBB ini mencatat jualan lebih RM 1.2 juta dari 2018 hingga Mac lalu.

-BERNAMA


Pengarang :