NASIONAL

FAMA turun padang pantau harga barang

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah proaktif turun padang memantau harga barangan segar dan pertanian di semua pasar tani FAMA dan Agrobazaar Rakyat (ABR) sepanjang musim Aidilfitri ini, kata Anggota Lembaga Pengarahnya Misdan Adam.

Beliau berkata pemantauan itu dibuat bagi memastikan usahawan FAMA mematuhi senarai harga kawalan yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bagaimanapun, beliau berkata FAMA tidak mempunyai kuasa seperti agensi penguatkuasaan, sebaliknya hanya bertindak memberi nasihat dan panduan harga kepada peniaga.

“Kami ada juga terima beberapa aduan tentang harga barang, namun tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak KPDNHEP,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di ABR Taman Melati di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Bahagian Peruncitan FAMA Abd Rahman Mahmood dan Pengarah FAMA Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya) Muhammad Nazri Kamarulzaman.

KPDNHEP menyenaraikan harga kawalan bagi 27 jenis barang di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri selama 30 hari bermula 21 Mei lepas.

Pada lawatan kerja itu, Misdan turut merasmikan ABR Taman Melati yang merupakan outlet ABR ke empat di Kuala Lumpur. -BERNAMA


Pengarang :