FKPM UiTM rai 88 golongan kurang bernasib baik | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

FKPM UiTM rai 88 golongan kurang bernasib baik

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 23 MEI: Seramai 88 golongan kurang bernasib baik diraikan Fakulti Komunikasi Pengajian dan Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Shah Alam sempena Ramadan kali ini.

Pada majlis itu, mereka yang terdiri daripada ibu tunggal khususnya golongan B40, mualaf dan pelajar asnaf menerima sumbangan hamper serta wang tunai sebagai persiapan Aidilfitri bakal tiba.


Bertempat di Hotel Grand Blue Wave, di sini, majlis serahan sumbangan berjumlah keseluruhan lebih RM12,000 disempurnakan Dekan FKPM, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Keceriaan jelas terpancar pada wajah penerima kerana sumbangan terbabit membolehkan mereka meraikan Ramadan dan menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna seperti umat Islam lain.

Pensyarah FKPM merangkap penasihat program, Dr Ahlam Abdul Aziz berkata, ia bertujuan mengimarahkan hubungan fakulti bersama masyarakat setempat supaya menikmati Ramadan dengan gembira.

“Saya berharap sumbangan diberikan pihak fakulti sedikit sebanyak membantu dan meringankan beban mereka dalam menyambut kehadiran Syawal.

“Pada tahun lalu, program ini membabitkan dalam skala kecil maka tahun ini pihak fakulti mengembangkan golongan sasaran terutamanya menyambut kehadiran saudara mualaf baharu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Dazzling Al-Kareem Discovering New Hopes di Hotel Grand Bluewave, di sini, semalam.

Katanya, program berkenaan membabitkan lima kursus di bawah FKPM iaitu komunikasi pengurusan dan polisi, penyiaran, komunikasi antarapersonal, pengiklanan dan penerbitan.

“Kebanyakan pelajar hanya tertumpu kepada teori sahaja, menerusi program ini ia membuka peluang kepada mereka untuk mempraktikkan serta mengendalikannya setelah mereka tamat pengajian.

“Pada masa sama, ia melatih pelajar menghargai kelebihan dalam berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan,” katanya.

Turut hadir, pensyarah FKPM, kakitangan pentadbiran dan pelajar serta diserikan dengan Tazkirah Ramadan oleh penceramah jemputan, Pencetus Ummah Hafiz.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next