SUKANKINI

Futsal beri Rosbaizuranie kepuasan pamer kemahiran

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Ketajaman penyudah di bahagian serangan di samping teknik bertahan yang baik nyata memberikan masalah kepada pihak lawan jika berhadapan Rosbaizuranie Bokun.

Wanita berusia 29 tahun berasal dari Sabah itu tidak kekok mempamerkan kemahiran bermain futsal sejak kali pertama beraksi pada 2008.

“Walaupun saya seorang wanita dan bertudung, saya tidak kekok kecuali kalau tidak dapat jaringkan gol, rasa sedikit malu.

“Sebelum ini saya pernah bermain bola sepak di Sabah sejak berusia 12 tahun bersama keluarga dan menyertai pertandingan di daerah Kemabong,” katanya kepada SelangorKini selepas menyertai Piala Futsal Persahabatan GLC Selangor.

Bertugas sebagai anggota keselamatan, Rosbaizuranie mengakui sesi latihan bersama rakan banyak memberikan kelebihan terutama dalam mengekalkan stamina setiap kali bermain.

Lebih menggembirakan, minatnya turut mendapat sokongan daripada suami tercinta, Nor Naqieb Md Naser, 27.

“Alhamdulillah suami saya memberikan sokongan dan tahu saya suka bermain futsal. Setakat ini belum pernah mengalami kecederaan serius sepanjang beraksi,” katanya.

Mula bertugas di Selangor sejak enam tahun lalu, beliau mengakui tidak berminat untuk menonton perlawanan bola sepak di stadium atau televisyen berbanding wanita lain sebaliknya berasa puas dan seronok selepas tamat aksi permainan.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :