BERITA UTAMASELANGOR

Gangguan air di Shah Alam dijangka pulih 9 malam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerja-kerja pembaikan kerosakan peralatan pam utama air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa Tiga (SSP3) sedang giat dilaksanakan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, kerja pembaikan paip berkenaan sehingga jam 3 petang tadi mencapai 50 peratus.

Katanya, pihaknya mensasarkan kerja pembaikan itu dapat disiapkan pada jam 9 malam ini dan pam akan beroperasi semula bagi proses pengepaman air terawat ke sistem agihan sejurus kerja pembaikan siap dilakukan.

“Kerja pembaikan itu juga tidak membabitkan sebarang penutupan loji dan hanya berlaku pengurangan pengeluaran bagi agihan bekalan air terawat dan menyebabkan gangguan bekalan air sementara di kawasan-kawasan seperti yang dinyatakan.

“Bagi memberikan bantuan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas, pihak kami mengaktifkan dua Pusat Khidmat Setempat,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Raof berkata, bagi kawasan Bukit Kuda, Jalan Batu 3 Lama, Taman Putramas dan Seksyen 2 hingga 13 boleh mendapatkan bantuan di PKS Kompleks Sukan SUK, Seksyen 5.

Manakala, bagi Seksyen 14 hingga 25, boleh mendapatkan bantuan di PKS Kolam Air Seksyen 16, Jalan Cengkih 16/10.

“Pelanggan-pelanggan boleh mendapatkan maklumat bekalan daripada pegawai PKS Air Selangor kami yang bertempat di PKS-PKS ini yang beroperasi 24 jam sehari.

“Bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pili air awam juga dibuka di Persiaran Astana, Mutiara Bukit Raja 2, Bandar Baru Bukit Raja (Koordinat GPS: 3°05’18.2″N 101°26’52.4″E) bagi membantu pelanggan mendapatkan bekalan air kecemasan.

Berikiut adalah nama-nama pegawai yang boleh dihubungi untuk sebarang bantuan di PKS:

1.  Nor Hayati Mohd Saleh (011-10040579)
2. Khairul Hasman Mohamad (012-3516244)
3. Yasmin Hazim (016-6131600)
4. Mohd Zafer Mohd Nordin (012-2205713)


Pengarang :