SELANGOR

Gangguan bekalan air hampir pulih sepenuhnya

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 12 MEI: Kira-kira 98 peratus kawasan yang terjejas di Wilayah Klang ekoran paip utama pecah berhampiran Lebuhraya West-Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping, sejak Sabtu lalu sudah pulih sepenuhnya setakat jam 6 pagi ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, terdapat beberapa premis masih mengalami gangguan bekalan dan tekanan rendah di lokasi tinggi serta penghujung sistem agihan.

Katanya, antara lokasi terbabit Bandar Putera, Parkland, Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Utara, Jalan Pelabuhan Utara dan Taman Sentosa.

“Pihak kami sentiasa memberikan tumpuan bagi menstabilkan dan memulihkan bekalan ke kawasan terbabit serta meminta kerjasama pelanggan terjejas untuk merujuk makluman rasmi.

“Sebarang makluman hebahan berhubung akan berlakunya lagi penutupan dan
gangguan adalah tidak benar, kami sedang berusaha sebaik mungkin bagi mempercepatkan pemulihan dan menstabilkan bekalan air ke semua kawasan yang terjejas seperti disasarkan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Abdul Raof menegaskan supaya pelanggan tidak membuat simpanan bekalan melebihi penggunaan susulan ia akan menjejaskan proses pemulihan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan status terkini dengan memuat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor” dan Twitter @air_selangor

Pelanggan juga boleh menghubungi di talian 15300 untuk sebarang pertanyaan dan bantuan.

Terdahulu, hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.


Pengarang :