SELANGOR

‘Geng Gedegang’ aktif curi mesin air tin tumpas

SUNGAI BULOH, 17 MEI: Satu kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Gedegang’ yang dipercayai aktif mencuri mesin air tin layan diri di sekitar Selangor dan Lembah Klang tumpas susulan penahanan empat anggotanya, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata empat lelaki berusia antara 23 dan 29 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan di Cheras, Rawang dan Sungai Buloh pada operasi yang dijalankan dari 30 April hingga 8 Mei lepas.

Beliau berkata hasil siasatan polis merampas sebuah Proton Satria, mesin gerudi dan enam unit mesin air di Cheras, Kepong, Perak dan Bukit Beruntung, Melaka.

“Geng ini aktif sekitar November tahun lepas dengan mencuri mesin air dan menjualnya di sekitar Selangor, Melaka dan Perak dengan harga RM3,000 hingga RM4,000 mengikut jenis dan saiz melalui iklan di laman sosial Facebook berbanding harga asal sebuah mesin air itu yang boleh mencecah sehingga RM20,000 seunit.

“Mereka mengumpil mesin air menggunakan mesin gerudi sebelum dihantar kepada pembeli menggunakan lori sewa,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, hari ini.

Susulan penahanan empat lelaki itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah masuk kedai dobi dan curi mesin air tin di sekitar Selangor dan Lembah Klang.

Shafa’aton berkata hasil siasatan mendapati dua daripada lelaki terbabit adalah bekas pekerja yang menjalankan servis perkhidmatan mesin air tin manakala dua lagi tidak bekerja.

Dua daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah melibatkan kes dadah dan curi.

-BERNAMA


Pengarang :