KUALA LUMPUR, 29 Mei — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tertarik dengan ayat “Malaysia Chicken Rice Is Better” ketika melawat ruang kerja selepas merasmikan pejabat Facebook di Q Sentral 2, semalam. Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dan Pengarah Facebook Malaysia, Nicole Tan. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Gobind puji sokongan Facebook tangani maklumat palsu

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, memuji inisiatif Facebook dalam menyokong usaha kementeriannya menangani maklumat salah dan palsu.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa penyedia media sosial melakukan banyak kerja pada kandungan yang dijana pengguna (UGC) untuk menentang pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

“Usaha ini terdiri daripada sumber yang direka untuk membantu orang berfikir secara kritikal dan berkongsi secara bertanggungjawab, membantu mereka lebih memahami dan lebih mudah mengawal apa yang dilihat di media sosial, untuk bekerjasama dengan pihak ketiga yang memeriksa data dengan pantas bagi mengatasi maklumat yang salah.

“Cabaran sekarang adalah untuk menangani kepelbagaian dalam kandungan UGC yang akan memasukkan konteks tempatan untuk setiap negara yang mempunyai kebimbangannya sendiri,” katanya pada majlis pembukaan pejabat baru Facebook di Q Sentral, di sini semalam.

Pembukaan pejabat itu disempurnakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Gobind berkata, walaupun terdapat beberapa bentuk pengiktirafan terhadap keperluan untuk menangani ucapan kebencian dengan segera, terdapat juga bentuk ekspresi lain yang boleh menimbulkan ancaman kepada kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Aliran maklumat bebas boleh menjadi sesuatu yang baik tetapi ia juga boleh disalah gunakan,” katanya.

Beliau berkata adalah baik apabila ia digunakan untuk menghubungkan orang dan masyarakat, namun ia juga boleh digunakan untuk menghasut kebencian, keganasan dan menyebarkan berita palsu serta maklumat salah.

“Kementerian saya memainkan peranan utama dalam memastikan semua orang boleh menggunakan platform media sosial dengan selamat dan bertanggungjawab, tetapi itu lebih mudah untuk diucapkan daripada dilakukan,” katanya.

Gobind berkata kementeriannya juga berharap untuk bekerja lebih rapat dengan Facebook, khususnya dalam bidang Penguatkuasaan Piawaian Komuniti.

Beliau turut berharap Facebook akan terus meneroka peluang untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan dan masyarakat bagi mewujudkan dunia yang lebih berhubung.

Beliau berkata, kehadiran dan komitmen yang dipertingkatkan di Malaysia adalah langkah utama ke arah membantu meningkatkan kemahiran digital perusahaan kecil dan sederhana (SME) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan berhubung dengan seluruh dunia melalui pendidikan, pandangan serta peralatan untuk berjaya.

-BERNAMA


Pengarang :