NASIONAL

Grab sentiasa utamakan keselamatan pemandu, penumpang

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Penyedia perkhidmatan e-hailing, Grab Malaysia sentiasa memberi keutamaan untuk melindungi keselamatan komunitinya, dan tetap komited untuk memastikan keselamatan pemandu dan penumpangnya supaya tidak terdedah kepada risiko .

Grab dalam satu kenyataan berkata, ia juga akan terus membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi, kesedaran komuniti dan program pendidikan.

“Pada masa ini, kami mempunyai pelbagai peralatan seperti butang kecemasan dan ciri ‘berkongsi perjalanan saya’ apabila kedua-dua pihak dapat berkongsi maklumat perjalanan dan lokasi GPS secara langsung dengan rakan-rakan dan/atau orang tersayang, dan pengesahan swafoto penumpang atau sistem pengecaman wajah penumpang yang baru dilancarkan.

“Walaupun kami berusaha ke arah insiden sifar, beberapa kejadian berlaku dan disebabkan oleh individu yang mempunyai niat berbahaya atau berniat jahat,” katanya sambil menarik perhatian kepada insiden baru-baru ini apabila seorang pemandu Grab di Sabah, Mohammad Hanafiee Jaafar dibunuh.

Grab berkata ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengurangkan kadar insiden di platformnya dan sentiasa mengambil langkah-langkah perlu dalam keadaan kecemasan, termasuk berkongsi maklumat yang relevan dengan pihak berkuasa dan membantu mempercepat siasatan sebaik mungkin.

Sebaik sahaja perkara itu dilaporkan, Grab bekerjasama dengan PDRM dan memberikan semua maklumat yang diperlukan untuk membantu siasatan. Ini termasuk gambar suspek dan maklumat dari ciri pengesahan swafoto penumpang yang dibangunkan dalam aplikasi Grab. Teknologi ini banyak membantu siasatan PDRM yang membawa kepada penahanan dua suspek dalam kes ini, ” katanya.

Syarikat itu berkata pasukan Grab akan menghubungi keluarga Mohammad Hanafiee untuk membuat persiapan dan memberikan sokongan yang diperlukan.

“Bagi pihak keluarga Grab, kami merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga rakan Grab kami, Mohammad Hanafiee. Allahyarham adalah seorang individu yang bekerja dengan rajin dan pemandu berprestasi tinggi. Kami sangat sedih bahawa kejadian itu berlaku ketika dia bekerja keras untuk mencari nafkah, “katanya.

Syarikat itu juga meminta orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat peribadi mangsa di media sosial demi menghormati privasi keluarga semasa masa sukar ini.

Pada Ahad, tular di media sosial mengenai kehilangan Mohammad Hanafiee sebelum kereta yang dipandunya ditemukan di tapak Bazar Ramadan di Indah Permai di Sepanggar pada jam 12.30 pagi keesokan hari.

Polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing dipercayai terlibat dalam kejadian itu. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa sebelum membuang mayatnya di kawasan semak di Tuaran.

-BERNAMA


Pengarang :