SUKANKINI

Hamidin lawat Aspire Academy di Qatar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 16 MEI: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melakukan lawatan rasmi ke akademi sukan serba canggih dan terkenal di dunia, Aspire Academy di Doha, Qatar, semalam.

Ketibaan beliau disambut Pengarah Prestasi dan Sains Bola Sepak Aspire Academy, Prof. Valter Di Salvo; Koordinator Prestasi Bola Sepak Aspire Academy, Daniele Bonanno dan Pegawai Perhubungan Awam Aspire Academy, Esperanza Campuzano.

Valter Di Salvo adalah bekas jurulatih kecergasan Lazio, Real Madrid dan Manchester United merupakan individu penting dalam membangunkan Aspire Football, salah satu komponen di Aspire Zone.

Hamidin dibawa melawat kemudahan di Aspire Football yang siap dibina sepenuhnya pada 2017 merangkumi sebanyak 15 padang bola sepak dan dua padang rumput tiruan termasuk padang tertutup.

“Sebelum lawatan ini (semalam), saya telah bertemu dengan Saoud Al-Mohannadi, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) yang juga Ahli Majlis FIFA untuk membincangkan kerjasama dengan Aspire Academy ini dalam membantu FAM menghantar pasukan remaja B-13 hingga B-18 kita terutama pasukan elit remaja negara di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Gambang untuk datang menjalani kem latihan di akademi ini secara lebih kerap.

“Aspire Academy ini sememangnya diakui mempunyai kelengkapan latihan, perubatan dan kemudahan moden yang lengkap dan terkini. Sudah tentu kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada pembangunan bola sepak kita,” katanya.

Lawatan ke Aspire Academy itu adalah sebahagian program kunjungan hormat Hamidin selaku Presiden FAM dan Exco AFC yang menerima jemputan peribadi daripada Presiden QFA, Sheikh Hamad Khalifa Al Thani.

Aspire Academy ditubuhkan pada 2004 untuk mencari dan membangunkan atlet muda terbaik Qatar dengan program bola sepaknya telah membawa negara itu memenangi Kejuaraan B-19 AFC 2014 dan layak ke Piala Dunia B-20 2015.


Pengarang :