Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
NASIONAL

Hanya mahkamah tentukan projek Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Hanya mahkamah sahaja yang boleh memutuskan sama ada projek Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) haram atau tidak, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Khalid berkata sebagai menteri, beliau sudah buat yang terbaik untuk menangani isu projek berkenaan dan pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan laporan berkenaan cadangan isu projek pembangunan berkenaan untuk perhatian Kabinet.

Kertas cadangan itu juga katanya akan diberikan kepada pihak lain untuk diteliti termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pejabat Peguam Negara susulan terdapat dakwaan sebelum ini bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempunyai kepentingan peribadi terhadap projek berkenaan.

“Jadi biarkan SPRM buat kerja mereka… jika SPRM dapati kesahan (dalam projek itu) akan memaklumkan kepada AG (Peguam Negara) dan beliau AG akan meneliti kekuatan kes.. kemudian jika AG dapati ianya kuat (rasuah) AG akan bawa kes ini ke mahkamah, kemudian mahkamah akan mengisytiharkan projek ini haram.

“… ia tidak boleh diisytiharkan oleh saya mahupun oleh SPRM, keputusan akhir akan ditentukan oleh mahkamah jika ada kes…MACC perlu menyiasat dan perlu mendapatkan bukti yang kukuh bagi menunjukkan bahawa kes ini kuat .. mereka kemudian perlu yakinkan AG jika ia kes yang kuat…AG kena bawa ke mahkamah, kemudian para hakim membuat keputusan” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Agihan Sumbangan dan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Jamek Kampung Baru di sini hari ini.

Khalid mengulas mengenai kontroversi projek itu kerana mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Katanya beliau sudah membuat yang terbaik dan bertemu semua pihak berkepentingan seperti pemaju dan penduduk dan pada masa sama perlu menjaga kepentingan semua pihak dan tidak boleh membiarkan DBKL membayar pampasan yang tinggi.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

DBKL perlu membayar kira-kira RM150 juta kepada pemaju sekiranya projek itu dibatalkan dan ia suatu pembaziran terhadap dana awam.

-BERNAMA


Pengarang :