Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
NASIONAL

Henti tembak menembak isu kuota matrikulasi

ALOR SETAR, 22 MEI: Kritikan membina diperlukan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sikap gemar ‘tembak menembak’ tidak patut berlaku kerana gabungan itu kini dalam kerajaan, bukan pembangkang.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, isu berhubung kuota matrikulasi misalnya sudah diputuskan Kabinet dan perkara berkaitannya hanya boleh dibincangkan dalam Kabinet.

“Isu ini sudah dimuktamadkan melalui keputusan konsensus dalam jemaah menteri dan ini merupakan keputusan bersama dan kalau DAPSY (Sosialis Muda DAP) tidak setuju, mereka boleh tanya menteri mereka dalam jemaah menteri.

“Perkara seperti ini harus dibincang dalam Kabinet sebab kita sekarang dalam kerajaan, bukan lagi pembangkang… tembak menembak ini sudah tidak patut berlaku,” katanya kepada pemberita selepas program konsultasi dan majlis berbuka puasa bersama belia di Kubang Rotan dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan beberapa pemimpin DAP, Gerakan dan MCA yang mengecam Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung kenyataannya yang mengaitkan isu kuota matrikulasi dengan kehendak majikan yang mengutamakan calon fasih bahasa Mandarin.

Syed Saddiq berkata, apa yang penting setiap keputusan dibuat adalah untuk memastikan semua pihak khususnya nasib anak muda dalam golongan B40 terbela.

-BERNAMA


Pengarang :