SUKANKINI

Hoki FIH: Malaysia jumpa Austria di separuh akhir

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Malaysia layak ke separuh akhir Kejohanan Hoki Siri Final Lelaki FIH 2019 selepas menewaskan Wales 2-1 pada aksi ‘play-off’ di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, malam ini.

Skuad Malaysian Tigers, yang bangkit daripada kekalahan 4-2 kepada Itali pada saingan Kumpulan B, kembali semula ke landasan untuk memburu kejuaraan bagi memperoleh tiket automatik ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, November ini.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans itu akan bertemu Austria, juara Kumpulan A, pada aksi separuh akhir Jumaat ini.

Dalam satu lagi aksi play-off, Kanada mengalahkan China 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 untuk berdepan dengan juara Kumpulan B, Itali, pada satu lagi aksi separuh akhir pada hari tersebut.

Namun kemenangan tipis Malaysia itu kurang menyakinkan selepas terpaksa bergelut dengan Wales yang menduduki ranking ke-24 dunia sepanjang perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia, selaku pasukan ranking ke-13 dunia, menampilkan aksi yang lebih bersemangat tetapi gagal menyempurnakan peluang pertama pada minit ke-12 apabila biasan Fitri Saari berpunca daripada tolak Razie Rahim daripada pukulan sudut penalti sedikit tersasar.

Sekali lagi, peluang Malaysia untuk membuka tirai jaringan terlepas apabila pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-21 gagal menghasilkan gol.

Bagaimanapun, gol yang ditunggu-tunggu akhirnya hadir pada minit ke-27 apabila penyerang berpengalaman, Tengku Ahmad Tajuddin menolak deras percubaan di tengah kawasan D untuk menewaskan penjaga gol Wales, James Fortnam.

Pada suku ketiga, Wales mengaturkan gerakan kemas untuk mencari gol penyamaan dan hampir mengejutkan tuan rumah apabila dihadiahkan dua pukulan sudut penaliti, namun satu daripada diselamatkan penjaga gol negara, Hairi Abd Rahman dan satu lagi disia-siakan begitu sahaja.

Malaysia menambah gol kedua menerusi Faizal Saari selepas menerima hantaran jauh daripada Razie sebelum melakukan pukulan kilas pada minit ke-40.

Wales merapatkan jurang menerusi Luke Hawker pada minit ke-56 namun ia sudah terlambat untuk menggugat kedudukan Malaysia ke separuh akhir.

Sementara itu, Oltmans menarik nafas lega selepas perlawanan ‘hidup dan mati’ itu dan menyifatkan rentak permainan anak buahnya pada perlawanan itu lebih tersusun.

Walaupun menang, jurulatih itu tidak puas hati dengan jumlah jaringan yang dilakukan apabila mensia-siakan beberapa peluang yang terhidang.

“Kami akan memperbaiki satu demi satu perlawanan dan itulah yang berlaku dalam kebanyakan pertandingan,” katanya.

Mengenai Austria, Oltmans berkata, pasukan itu mempunyai benteng pertahanan yang mantap dan hanya membolos dua gol sepanjang tiga perlawanan dalam peringkat kumpulan.

“Kami pasti akan mencari kelemahan dan ruang untuk menghasilkan jaringan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Kanada, Paul Bundy berkata, walaupun negaranya menduduki ranking ke-10 dunia namun anak buahnya tidak akan mengambil mudah pada aksi separuh akhir selepas Itali, negara ranking ke-32 dunia itu, mengejutkan Malaysia pada saingan peringkat kumpulan.

“Kami perlu melakukan ‘kerja rumah’ sebelum berdepan dengan Itali. Ia bukan mudah tetapi akan mengekalkan momentum ketika menentang China hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Wales akan menentang China pada perlawanan penentuan tempat kelima dan Barzil berdepan dengan Belarus pada perlawanan tempat ketujuh, esok.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :