Hubungan Malaysia China ‘persahabatan’ berasaskan tamadun | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Hubungan Malaysia China ‘persahabatan’ berasaskan tamadun

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Malaysia menyifatkan hubungan diplomatik selama 45 tahun yang dijalin dengan China bukan bersandarkan diplomasi dan hubungan dagang semata-mata, malah ia sudah mencapai tahap ‘persahabatan’ berasaskan tamadun.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata hubungan itu boleh dilihat khususnya dengan kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu, bermula daripada zaman kesultanan Melayu Melaka dan bukan hanya zaman penjajahan Inggeris.

“Jadi hubungan itu sangat mendalam, ia telah melewati hubungan biasa berasaskan tamadun lampau dan ia akan bertambah baik.


“Beratus tahun dalam sejarah, dan kini kita melihat beratus tahun ke hadapan, kita sangat positif” katanya pada pemberita selepas merasmikan Pameran Foto 45 Tahun Kegemilangan Malaysia-China di sini, hari ini.

Hadir bersama pada majlis berkenaan ialah Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian dan Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor Datuk Ong Seng Khek.

Sebanyak 120 keping gambar bersejarah memaparkan hubungan Malaysia dan China yang dibekalkan oleh agensi berita China, Xinhua berada dalam pameran itu bermula hari ini sehingga 31 Mei nanti.

Saifuddin kedua-dua negara kini melihat kepada industri untuk masa hadapan terutamanya robotik dan sektor perisikan.

“Jadi dari satu segi hubungan adalah ketamadunan berdasarkan sejarah, tetapi kini hubungan kita maju ke hadapan bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan tetapi juga melihat bidang perindustrian pada masa hadapan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata kerajaan Malaysia Baharu yang muncul pada Mei tahun lalu komited dalam memperkukuhkan hubungan Malaysia-China dengan kerjasama lebih erat dan lebih bermakna.

Perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara sejak tahun-tahun kebelakangan ini meningkat meteorik dan trend ini akan terus menjana lebih banyak peluang dalam bidang pelancongan, sains dan teknologi serta pertukaran budaya, katanya dalam mesej dalam buku cenderamata yang diterbitkan oleh Persatuan Persahabatan Malaysia-China atau lebih dikenali sebagai PPMC untuk menandakan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next