KUALA LUMPUR, 6 Mei — Naib Presiden Argentina Marta Gabriela Michetti bergambar bersama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Tan Sri SA Vigneswaran ketika mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara, di Bangunan Parlimen hari ini. Michetti berada di sini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia sejak Khamis dan ini merupakan lawatan rasmi kali pertama dari Argentina dalam tempoh 22 tahun. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
EKONOMI

Hubungan strategik Malaysia-Argentina kian kukuh – Michetti

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Argentina yakin hubungan strategik sedia ada dengan Malaysia kian kukuh serta menjanjikan masa hadapan lebih cerah, kata Naib Presidennya, Marta Gabriela Michetti.

Menyifatkan hubungan Argentina-Malaysia “sangat baik”, beliau berkata Buenos Aires mahu jalinan yang bermula sejak 1967 itu terus diperkukuhkan.

“Apa yang mahu kita jana ialah satu simbol penting untuk hubungan antara Argentina dan Malaysia, sebagaimana ditakrifkan Presiden (Mauricio) Macri untuk memilih rakan strategik. Malaysia satu negara penting bagi mengekalkan pembangunan kerjasama yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam wawancara eksklusif.

Naib Presiden itu berada di Kuala Lumpur untuk lawatan rasmi selama lima hari bermula Khamis.

Ini adalah lawatan rasmi pertama dari pihak Argentina dalam tempoh 22 tahun, sejak lawatan bekas Presiden Carlos Menem pada 1990 dan 1997.

Kedutaan Argentina dibuka di Kuala Lumpur pada 1983 sementara Malaysia membuka kedutaannya di Buenos Aires pada 1989.

Pada Mac tahun ini, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah membuat lawatan kerja ke Argentina.

Ia adalah kunjungan pertama peringkat tinggi dari Malaysia sejak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat negara Amerika Selatan itu pada 1997.

Ujar Michetti, Argentina bukan sahaja menumpukan dalam hubungan dua hala dengan Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan, tetapi bidang lain turut menjadi keutamaan.

“Saya rasa kita kini dalam fasa politik yang ideal untuk membuat keputusan dan melakukan apa yang diperlukan bagi mencapai matlamat. Kami mahu mewujudkan pembangunan mampan jangka panjang antara kedua-dua negara,” katanya.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah US$1.34 bilion pada 2018, menyaksikan banyak peluang terutamanya dalam industri agro-industri bioteknologi dan industri halal.

Menurutnya, usaha sama antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan syarikat minyak dan gas nasional Argentina Yacimientos Petrolíferos Fiscales (YPF) bernilai US$2.3 bilion untuk tempoh empat tahun melambangkan kerjasama ekonomi dua hala yang sangat penting.

Bagaimanapun, kedua-dua negara dilihat perlu meningkatkan usaha sama memandangkan ia mempunyai potensi pertumbuhan sangat besar.

Perjanjian itu ditandatangani pada Disember tahun lepas, membolehkan membangunkan minyak syal dalam blok “La Amarga Chica” di wilayah Neuquen, Argentina.

“Usaha sama ini amat penting bagi kedua-dua negara. Kita tidak akan melakukannya jika ia tidak berpotensi”, jelasnya.

Justeru, Argentina mengambil pendekatan pragmatik dan melihat hubungan antarabangsa sebagai pentas untuk mewujudkan kerjasama yang memberikan manfaat .

Oleh itu, katanya usaha itu perlu dilakukan sekarang kerana terdapat potensi besar dalam banyak bidang untuk digerakkan ke hadapan.

Jelasnya, terdapat rancangan mengadakan perkongsian antara Institut Teknologi Pertanian (INTA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Perjanjian akan ditandatangani dalam tempoh dua bulan, apabila rundingan selesai. Tambahan pula, kedua-dua negara mempunyai hasrat menubuhkan sebuah Majlis Perniagaan untuk mengenalpasti sektor baharu ekonomi dan komersil yang boleh dibangunkan”, katanya.

Ditanya mengenai hubungan rakyat dengan rakyat yang masih kurang, disebabkan faktor jarak, Naib Presiden itu berkata ia bukanlah satu halangan.

“Biarpun jarak antara Argentina dan Malaysia jauh, kita sedang meneliti kaedah merapatkan lagi hubungan termasuk memperbanyakan lagi laluan penerbangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia Airlines pernah mengadakan perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Cape Town di Selatan Afrika dan kemudian ke Buenos Aires, namun ia dihentikan pada 2012.

– BERNAMA

 


Pengarang :