Hulu Selangor bakal terima projek pembangunan RM69.2 juta | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Norway

Wartawan

Nazli Ibrahim

Hulu Selangor bakal terima projek pembangunan RM69.2 juta

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 16 MEI: Hulu Selangor terus menikmati pembangunan pesat dengan pelbagai projek kemudahan awam dan infrastruktur bagi keselesaan masyarakat, di daerah terbabit.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli berkata, daerah itu akan menerima projek bernilai RM69.2 juta membabitkan projek fizikal di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR) bernilai RM40 juta dan kemudahan infrastruktur bernilai RM29.2 juta di bawah Projek Jalan, pada tahun ini.


“Sukacita patik maklumkan, pada tahun ini terdapat beberapa projek fizikal di bawah pemantauan JKR Hulu Selangor iaitu membina dan menyiapkan masjid di Rasa, Hulu Selangor yang boleh memuatkan 1,500 jemaah, dengan kos projek RM11.8 juta.

“Kedua, membina dan menyiapkan Pusat Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Serendah, Hulu Selangor dengan kos projek RM16.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Bebuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir Miskin dan Saudara Baru di Masjid Bandar Utama, Batang Kali di sini, semalam.

Selain itu, tiga projek lain adalah membina dan menyiapkan Pejabat Veterinar di Kuala Kubu Bharu, dengan kos projek RM1.5 juta; menaik taraf Perpustakaan Awam Kuala Kubu Bharu (RM3.2 juta) dan membina serta menyiapkan Kuarters Integrasi Klinik Kesihatan Felda Soeharto, Hulu Bernam (RM7 juta).

Manakala bagi memastikan kemudahan infrastruktur pula, projek menggantikan Jambatan Sungai Kerling yang menelan kos RM6.4 juta dan projek menggantikan Jambatan Sungai Batang Kali dengan kos RM22.8 juta.

Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada usaha memulihkan semula projek Lembah Beringin dengan mempergiatkan promosi perancangan pembangunan untuk menarik pemilik tanah membangunkan tanah masing-masing.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next