PBTSELANGOR

Iftar Ala Madinah MBSA himpun lebih 2,000 orang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Lebih 2,000 orang memeriahkan Program Berbuka Puasa ‘Iftar Ala Madinah’ dan Sembang Sahur 2019 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, program julung kali diadakan itu meletakkan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menganjurkan acara sedemikian.

Katanya, MBSA turut bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi menjayakan program terbabit.

“Kita turut menyediakan 1,200 bungkus juadah iftar manakala JAIS menyumbang 800 bungkusan secara percuma antaranya nasi arab, kurma, kuih-muih dan buah-buahan kepada pengunjung yang hadir.

“Kita optimis menerusi program sebegini ia dapat meningkatkan penghayatan ibadah di bulan mulia ini iaitu Ramadan kepada masyarakat khususnya generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas solat Maghrib Berjemaah bersempena Program Berbuka Puasa ‘Iftar Ala Madinah’ dan Sembang Sahur 2019, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, sambutan amat memberangsangkan dan pihaknya bercadang akan menjadikan ia sebagai acara tahunan pada masa akan datang.

“Program ini juga antara sebahagian aktiviti daripada Hari Tanpa Kenderaan MBSA yang kita sering anjurkan setiap bulan dan ada beberapa komponen aktiviti acara itu turut diselitkan.

“Namun, bersempena ‘Iftar Ala Madinah’ ini kita menyelitkan sedikit unsur dakwah seperti Tazkirah Santai daripada PU Azman, solat Maghrib, Isyak dan Terawih secara berjemaah,” katanya.

Terdahulu, terdapat juga kunjungan daripada pelancong luar negara hadir untuk merasai sendiri kemeriahan ‘Iftar Ala Madinah’ terbabit.

 


Pengarang :