NASIONAL

Iftar Perdana AMK tidak terpesong ajaran Islam

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 MEI: Penganjur Majlis Iftar Perdana Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terdapat unsur pesta dan tari menari dalam penganjuran program berbuka puasa, Sabtu lalu.

Sebaliknya, Ketua Sekretariat Penganjur, Luqman Zainal Abidin berkata, program Iftar berkenaan sama sekali tidak terpesong daripada ajaran Islam mahupun budaya dan tradisi Melayu.

Katanya, beliau kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba meremehkan usaha aktivis muda ketika Pemuda parti berkenaan dibarahi dengan kepimpinan yang lemah dan tidak bertanggungjawab.

“Atas semangat Ramadhan, bulan penyucian jiwa yang menghindar kita dari sifat hasad, iri hati dan membelakangkan nilai keadilan, kami mengambil sikap husnuzon dengan bersangka baik.

“Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak mendapat maklumat lengkap dan komprehensif daripada pimpinan tidak bertanggungjawab berhubung program terbabit.

“Bagaimanapun, kami menerima semua teguran dengan hati terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Program Iftar Perdana AMK Malaysia dihadiri lebih 62 Ketua AMK Cabang dan 500 anggota AMK dari seluruh negara.

Semalam, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf berhubung program itu yang didakwa disambut dengan lagu dan bunga api.

Katanya, KEADILAN menerima sedikit bantahan dan kekesalan serta memohon maaf ke atas keterlanjuran itu.

Luqman yang juga Alumni Angkatan Ketiga Markas Latihan AMK Malaysia berkata, antara tentatif program berlangsung adalah Zikir & Doa, Tazkirah Ramadhan oleh PU Taha, solat tarawih lapan rakaat berjemaah, rakaman takbir raya, santai moreh termasuk persembahan lagu kerohanian dan lagu klasik Aidilfitri oleh KGB Band iaitu band muzik pertama dianggotai aktivis parti.

“Saya menyeru semua anggota AMK Malaysia mengambil teguran ini secara positif dan berusaha dengan lebih gigih menjayakan program demi memperkukuhkan ukhwah serta silaturahim dalam kalangan AMK biarpun tanpa dukungan dan sumbangan mana-mana kepimpinan parti mahupun kepimpinan AMK Malaysia,” katanya.


Pengarang :