SELANGOR

Iftar Perdana UNISEL-MBI rai lebih 1,500 mahasiswa

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 27 MEI: Lebih 1,500 mahasiswa menjayakan Iftar Perdana anjuran Universiti Selangor (UNISEL) dengan kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), di Dataran Konvokesyen, Kampus Bestari Jaya, di sini, semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, program julung kali yang mendapat penajaan sepenuhnya MBI itu bertujuan meraikan penuntut di institusi pengajian tinggi berkenaan.

“Majlis dimulai dengan forum bertajuk ‘Lailatul Qadar dan Penentuan Rezeki’ yang disampaikan Profesor Adjung UNISEL, Prof Dr Zaharuddin Abdul Rahman, disusuli ucapan daripada Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

“Majlis juga menyaksikan penyerahan sumbangan zakat daripada Bank Islam kepada UNISEL berjumlah RM10,000 dan replika cek berkenaan diserahkan Pengurus Perniagaan Deposit Serantau Bank Islam, Shamsul Azlan Mohd Nor kepada Presiden dan Naib Canselor UNISEL,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, Mohammad Redzuan dalam ucapan turut memberi penghargaan kepada MBI atas kesudian menaja majlis berkenaan selain
berterima kasih kepada pelajar yang sentiasa memberi sokongan kepada pihak pengurusan UNISEL.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah wakil MBI, barisan pengurusan tertinggi, pensyarah dan kakitangan pentadbiran UNISEL.


Pengarang :