BERITA UTAMASELANGOR

Iftar Sinar Ramadan rai insan kurang bernasib baik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Keceriaan jelas terpancar pada riak wajah 150 anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran Sungai Buaya apabila diraikan dalam Iftar Sinar Ramadan, di Ballroom Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini semalam.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Kelab Kebajikan Pembantu Operasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) itu dijayakan dengan kerjasama Selgate Corporation Sdn Bhd dan KDEB Waste Management Sdn Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebudayaan Kelab SUK Selangor, Mohd Faizal Mohamed Said berkata, program julung kali itu bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik membuat persiapan menyambut lebaran tidak lama lagi.

“Inisiatif seperti ini sekali gus dapat membudayakan nilai kasih sayang dan menghargai antara satu sama lain kerana ia memberi peluang kepada kita untuk membantu mereka bersama meraikan serta merasai kegembiraan seperti insan lain di luar sana.

“Semoga dengan usaha ini dapat memberi makna kepada penerima khususnya anak yatim yang saya kira bersemangat menjalankan ibadah puasa sepanjang Ramadan dan melalui sumbangan juga mampu meringankan beban dihadapi mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan harian kepada kesemua penerima terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, jawatankuasa di bawah kelolaannya itu turut melaksanakan MyCorporateCare dan program CSR sebagai saluran untuk mendapat derma serta sumbangan daripada badan korporat juga individu.

Katanya, menerusi program berkenaan, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM18,000 daripada kedua-dua syarikat berkaitan Kerajaan Negeri itu.

“Kita merakamkan penghargaan kepada penyumbang utama Selgate Corporation dan KDEB Waste Management serta berharap hubungan bersama badan korporat ini dapat dikekalkan juga dipereratkan lagi dalam mencapai hasrat serta cita-cita murni kepada masyarakat mahupun negara.

“Mereka juga sentiasa bersedia untuk membantu orang yang kurang bernasib baik dengan menghulurkan sumbangan kewangan dan barangan selari tuntutan agama yang menggalakkan kita bersedekah serta menambah amal juga ilmu pada bulan mulia ini,” katanya.


Pengarang :