NASIONAL

IMARET sasar kutip derma RM20,000 ‘Funds for Gaza’

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) menyasarkan kutipan derma sekurang-kurangnya RM20,000 untuk ‘Funds for Gaza’ fasa kedua kali ini.

Ketua Koordinator Pasukan Tindakan IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata, kutipan itu adalah usaha NGO berkenaan, terutama untuk membiayai pembelian bahan api bagi keperluan bekalan elektrik di hospital awam Gaza serta pembelian bahan perubatan.

Beliau berkata, inisiatif kutipan derma yang digerakkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Gaza itu akan berlangsung selama sebulan, bermula semalam.

“Wakil Kementerian Kesihatan Gaza sendiri datang berjumpa wakil kami merayu memohon bantuan awal tahun ini. Alhamdulillah derma fasa pertama dahulu dari IMARET (Februari hingga April), sebanyak RM30,000 telah dihantar sempena misi ‘Miles of Smiles’ minggu lalu,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, semalam.

Sumbangan boleh dibuat kepada IMARET (Funds for Gaza) menggunakan akaun CIMB 8600 703 709 atau hubungi Dr Ahmad Munawwar di talian 013-9861898 untuk maklumat lanjut.

– BERNAMA

Foto: BERNAMA Radio

 


Pengarang :