NASIONAL

Imigresen tumpaskan sindiket penyeludupan migran

PUTRAJAYA, 3 MEI: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang aktif menggunakan laluan sekitar perairan Selangor dalam operasi khas, pada malam Khamis.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket berkenaan menjadikan sebuah negara jiran sebagai transit sebelum migran yang diseludup dibawa ke Malaysia menggunakan bot melalui perairan sempadan negara dan ditempatkan di rumah transit di negara ini.

Dalam serbuan di sebuah kondomium mewah di Setapat, Kuala Lumpur, pasukan Imigresen berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh berumur dalam lingkungan 30-an. Salah seorang daripada mereka adalah dalang utama menguruskan kemasukan migran melalui jalan yang tidak diwartakan.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak Imigresen menemukan satu unit kediaman yang dijadikan rumah transit bagi migran.

Semasa pemeriksaan, pasukan serbuan menemukan tujuh belas lelaki warga Bangladesh berumur antara 25 tahun dan 35 tahun berada dalam rumah transit tersebut, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, siasatan awal mendapati kesemua migran masuk ke negara transit pada 24 April dan diseludup ke Malaysia secara berperingkat melalui perairan di Tanjung Sepat.

“Kesemua mereka dikenakan bayaran sebanyak RM11,000 hingga RM15,000 setiap seorang,” katanya.

Kesemua migran yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala tiga lelaki warga Bangladesh yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 26A, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :