SELANGOR

Industri berteknologi tinggi di Hulu Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 16 MEI: Daerah Hulu Selangor akan dibangunkan dengan menumpukan kepada usaha mempromosikan industri baru berteknologi tinggi dalam dan luar negara, di Serendah High Value Manufacturing Park.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli berkata, data Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek membabitkan keluasan pembangunan keseluruhan 571 hektar itu dianggarkan USD 4 hingga 8 billion.

“Sasaran tempoh pembangunan adalah dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun dan usaha pembangunan turut akan dilakukan di sebelah utara daerah ini terutama di Hulu Bernam seperti dicadangkan pihak Kompleks Tanjung Malim (KL Kepong) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Selain itu, keutamaan juga diberi untuk memulihkan semula projek Lembah Beringin dengan mempergiatkan promosi perancangan pembangunan bagi menarik pemilik tanah membangunkan tanah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada Majlis Bebuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir Miskin dan Saudara Baru di Masjid Bandar Utama, Batang Kali di sini, semalam.

Musa berkata, perancangan itu memerlukan tempoh masa yang panjang dan kerjasama padu Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor (PLANMalaysia@Selangor) dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS).

Katanya, Batang Kali pula akan terus diperkasakan sebagai Pusat Pertumbuhan Utama bagi Daerah Hulu Selangor selepas Bandar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa.

“Selain itu, Batang Kali turut berpotensi sebagai Hab Transit dengan mengambilkira aktiviti transit pengangkutan awam yang terdapat di Stesen KTM Batang Kali,” katanya.


Pengarang :