SELANGOR

Inisiatif Kerajaan Negeri, Persekutuan basmi PATI

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

PETALING JAYA, 4 MEI: Operasi bersepadu dilaksanakan Jabatan Imigresen Selangor membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menetap di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri itu.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor, Haniza Talha berkata, operasi itu selaras pendirian kerajaan apabila isu berkenaan dibangkitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

“Operasi bersepadu dilancarkan ini untuk memastikan kawasan rumah PPR yang dikhaskan kepada warganegara ini terpelihara daripada warga asing.

“Kita mempunyai senarai panjang bagi permohonan untuk menyewa unit PPR di kawasan Lembah Subang,” katanya ketika ditemui media selepas operasi berkenaan di sini, awal pagi tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan itu bagi mengenal pasti pemilik rumah PPR yang meyewakan kepada warga asing ataupun warganegara atas kesalahan melanggar syarat penyewaan rumah berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas dalam menangani penyalahgunaan PPR, khususnya membabitkan penyewaan mahupun penjualan tidak sah.

Terdahulu, seramai 11 PATI sedang nyenyak tidur terpinga-pinga apabila kediaman diduduki mereka diserbu dalam Operasi Bersepadu di kawasan PPR Lembah Subang 1, di sini, awal pagi tadi.

Serbuan jam 1 pagi tadi digempur beberapa agensi berkaitan di dua blok PPR Lembah Subang 1, di sini, membabitkan pemeriksaan lebih 800 unit rumah.


Pengarang :