Inkues Adib: Mahkamah tetapkan 26 Jun sebutan semula inkues | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Inkues Adib: Mahkamah tetapkan 26 Jun sebutan semula inkues

 

SHAH ALAM, 27 Mei: Mahkamah Koroner di sini menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula bagi prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh itu sementara menunggu pelantikan peguam baharu yang akan mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba tersebut.


Mahkamah menetapkan tarikh itu, selepas peguam Syazlin Mansor yang mewakili KPKT, JBPM dan keluarga anggota bomba itu, menarik diri dalam prosiding inkues yang memasuki hari ke-37, hari ini.

‘’Dalam tempoh tiga minggu (sebelum tarikh sebutan) isu ini (pelantikan peguam baharu) perlu diselesaikan, oleh itu pihak berkenaan perlu ‘liaise’ dengan KPKT dan bomba untuk mencari peguam.

‘’Peguam yang dilantik juga mestilah mahir dalam mengendalikan kes ini,’’ katanya.

Rofiah memaklumkan pada tarikh berkenaan, pihaknya akan menentukan sama ada saksi ke-29 yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dibenarkan untuk memberi keterangan semula atau sebaliknya.

Beliau turut meminta pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin mencadangkan nama pakar fizik yang berpadanan dengan bidang itu untuk dipanggil ke mahkamah.

“Pada tarikh itu, saya juga mahu nama pakar fizik (yang mahu dipanggil). Saya harap pakar itu diberitahu berkenaan skop inkues ini supaya mereka dapat menjangkakan apa soalan akan ditanya.

“Berkenaan panggil semula saksi ke-29, saya juga akan menyemak keterangan saksi ke-24 (Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi). Pada 26 Jun nanti, saya akan putuskan saksi ke-29 dipanggil semula atau tidak,” katanya.

Terdahulu, berhubung penarikan diri peguam itu, Syazlin memberitahu akan ada penggantinya berikutan beliau difahamkan KPKT dan JBPM masih kekal sebagai pihak berkepentingan dalam kes tersebut.

‘’Ada lantikan (peguam baharu) nanti, saya percaya Peguam Negara akan berbincang dengan menteri (KPKT) berhubung hal itu,’’ kata Syazlin.

Susulan penarikan Syazlin sebagai peguam juga, Dr Shahrom yang sepatutnya memberi keterangan kali kedua hari ini berhubung teori punca kematian Muhammad Adib, terbatal.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next