Masjid Al-Noor di Christchurch, New Zealand yang diserang hingga mengorbankan 51 nyawa pada 15 Mac 2019
GLOBAL

Insiden Christchurch: Polis NZ kemuka pertuduhan keganasan terhadap penembak

MOSCOW, 21 MEI: Polis New Zealand mendakwa Brenton Tarrant, lelaki yang melepaskan tembakan maut di dua buah masjid di negara itu atas pertuduhan keganasan selain pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh yang dikemukakan terhadapnya sebelum ini, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan polis pada Selasa.

“Polis telah bertemu keluarga mangsa dan mereka yang terselamat dalam serangan Christchurch pada 15 Mac untuk memaklumkan pertuduhan baharu itu kepada mereka selain mengemas kini siasatan polis selain proses mahkamah seterusnya.

“Satu pertuduhan di bawah Seksyen 6A Akta Tindakan Keganasan 2002 telah dikemukakan terhadap Brenton Tarrant,” menurut kenyataan itu.

Menurut polis, Tarrant kini berdepan 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan di bawah Akta Tindakan Keganasan.

New Zealand digegarkan dengan insiden tembakan rambang pada 15 Mac di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch.

Tragedi itu mengorbankan 50 nyawa dan menyebabkan 50 orang cedera.

Tarrant ditahan sejurus selepas kejadian dan berada dalam tahanan sejak itu.

-BERNAMA


Pengarang :