Foto BERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

IPCMC: Jangan khuatir jika tidak buat salah – Tun M

PUTRAJAYA, 14 MEI: Anggota polis yang tidak melakukan kesalahan tidak perlu khuatir dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil melahirkan rasa syukur isu bantahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penubuhan suruhanjaya itu berjaya diselesaikan, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan Ketua Polis Negara baharu Datuk Seri Hamid Bador kerana berjaya menyelesaikan isu itu.

“Kedua-duanya telah berjaya berbincang dan menjelaskan kepada wakil persatuan-persatuan polis tentang kepentingan untuk mewujudkan IPCMC bagi memulihkan imej PDRM di mata rakyat.

“Saya percaya, dengan penubuhan IPCMC, bukan hanya imej, malah kebajikan pihak polis juga akan turut dibela,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR), di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, IPCMC akan dibentuk sebelum akhir tahun ini selepas pihak polis berpuas hati dengan penjelasan GIACC.

Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan persatuan-persatuan PDRM mengenai penubuhan IPCMC termasuk soal kuasa, hak merayu dan perkara berkaitan disiplin.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat JKKMAR bersetuju supaya sebuah pasukan petugas khas, yang dipengerusikan oleh bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz serta dianggotai agensi-agensi berkaitan, ditubuhkan bagi mengkoordinasi usaha agar Malaysia terus cemerlang dalam laporan Corporate Governance Watch (CGW).

Dr Mahathir berkata, kedudukan Malaysia dalam laporan CGW telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari tempat ketujuh pada 2016 ke tempat keempat teratas pada tahun lepas.

“Berdasarkan laporan CGW tersebut faktor utama peningkatan ini adalah disebabkan oleh iltizam dan kesungguhan kerajaan terhadap usaha pencegahan rasuah yang menyeluruh telah mula dilaksanakan terutama dalam aspek governans, tadbir urus dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, ia adalah pencapaian yang amat bermakna selaras dengan matlamat kerajaan yang diterjemahkan di dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Ditanya bila pasukan itu akan ditubuhkan, beliau berkata Zeti akan membentuk pasukan tersebut dan mengkaji laporan yang dikeluarkan CGW.

– BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :