OLEH AFIX REDZUAN
RAWANG, 22 MEI: Daerah Gombak berkembang pesat sejak mula diterokai dengan pelbagai pembangunan di samping masih mengekalkan tradisi warisan, adat dan budaya bertunjangkan Islam sebagai asas teras sosial masyarakat di desa.
Pegawai Daerah dan Tanah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata, pembabitan semua lapisan masyarakat amat menggalakkan dan mereka sentiasa menitikberatkan amalan perpaduan, bekerjasama serta bertoleransi.
Katanya, masjid dan surau di setiap kampung juga sentiasa diimarahkan penduduk setempat dengan majlis ilmu, penyebaran dakwah serta pelbagai aktiviti yang menyatupadukan ummah.
“Sukacita patik juga ingin maklumkan bahawa terdapat beberapa perancangan pembinaan dan menaik taraf masjid telah mula dilaksanakan bagi memenuhi keperluan Muslimin dan Muslimat yang tinggal atau singgah ke aaerah Gombak ini.
“Sebanyak dua Masjid akan dibina baharu atau dinaik taraf iaitu Masjid Kampung Klang Gate dan Masjid Taman Tar.
“Masjid Kampung Klang Gates, Hulu Klang dibina dengan kos RM19.5 juta, dijangka siap Mac 2021 manakala kerja naik taraf Masjid Taman Tar, Hulu Klang dijangka siap Februari 2020 dengan kos RM6 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketia menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1440H serta Perasmian Masjid Peringkat Daerah Gombak di Masjid Taman Tun Teja.
Amirul Azizan berkata, terdapat beberapa projek pembinaan kemudahan lain untuk umat Islam di daerah ini seperti Sekolah Rendah Agama Bandar Country Homes Rawang membabitkan kos RM13 juta dijangka siap pada Februari 2020.
FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)