Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad
NASIONAL

Islam dipandang hina jika pemimpin tidak berintegriti – Khalid

KOTA BHARU, 12 MEI: Islam dipandang jijik jika pemimpinnya sendiri tidak berakhlak mulia dan tidak berintegriti, kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Abdul Samad.

Khalid, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, negara perlu dibangunkan dengan baik menerusi akhlak yang murni dalam kalangan pemimpin kerana merekalah juga yang akan mencorakkan rakyat dengan sikap mereka.

“Cakap pasal Islam berdegar-degar tapi orang (terutama bukan Islam) naik muak dan jijik dengan Islam. Dia (bukan Islam) rasa jijik dengan Islam kerana dia nampak akhlak orang Islam yang cakap pasal Islam tapi tak amanah, mengamalkan rasuah, bersikap perkauman dan menyebarkan risalah kebencian.

“Tak ada satu usaha pun untuk membangunkan negara ini dengan (nilai-nilai yang) baik,” katanya ketika berucap selepas mendengar taklimat Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan Majlis Berbuka Puasa yang turut dihadiri Pengerusi LKTN Wan Abdul Rahim Wan Abdullah di Dataran Kenaf di sini, hari ini.

Justeru, Khalid mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama tanpa mengira fahaman politik untuk membangunkan negara ini agar ia kembali dikenali sebagai Harimau Asia.

“Allah dah tetapkan sunnatullah begitu. Bangsa dan kaum yang mempunyai akhlak akan maju walaupun akidahnya songsang, negara itu Allah bagi (kemajuan).

“Tapi golongan yang akidahnya ‘canggih’, boleh berbahasa berjam-jam mengenai Islam tetapi akhlaknya hancur, (maka) hancurlah negara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang mempunyai pendirian politik yang berbeza dengan parti pemerintah.

Bagaimanapun katanya, sebagai penjawat awam, mereka perlu memberi sokongan kepada kerajaan yang memerintah hari ini ke arah satu matlamat yang telah dipersetujui oleh rakyat Malaysia secara majoriti.

“Kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak (penjawat awam) untuk menyertai parti politik tapi kita sebagai kerajaan dan tuan-tuan sebagai kakitangan kerajaan kena berikan khidmat yang jujur demi membantu kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

“Kalau ada yang tak mahu terima itu sebagai matlamat bersama atas alasan tak nak sokong PH, kamu tak khianati PH tapi kamu khianati rakyat dan negara,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :