NASIONAL

Isu beban kerja guru akan diselesai berperingkat-NUTP

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Isu bebanan tugas yang menghimpit golongan guru di negara ini akan diselesaikan secara berperingkat, kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihak kesatuan sudah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Kementerian Pendidikan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan.

“Dalam isu ini pihak kementerian menggariskan beberapa inisiatif membabitkan tiga fasa, iaitu yang boleh diselesaikan dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang. Jadi harap guru dapat bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan rancangan Ruang Bicara yang disiarkan Bernama News Channel yang bertajuk: Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi, malam tadi.

Isu berkenaan sebelum ini mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang menggariskan lima inisiatif dan sembilan intervensi bagi mengurangkan beban tugas guru, yang mula dilaksanakan awal tahun ini.

Kesemua inisiatif itu diperkenalkan memastikan proses pengajaran yang mementingkan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan bukannya menjadikan pekerjaan mulia itu sesuatu yang menyeksa dan membebankan.

Aminuddin dalam pada itu menafikan guru yang membangkitkan isu beban kerja berlebihan itu sebagai malas, sebaliknya memahami kerja tambahan itu menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan masa lebih banyak dengan pelajar dalam kelas.

“Kita sudah mendengar amanat sempena Hari Guru yang disampaikan Menteri (Pendidikan) Dr Maszlee bahawa isu ini akan diselesaikan. Saya harap para guru akan bersabar menanti detik (perubahan) kerana ia tidak boleh dibuat dalam sekelip mata,” katanya.

Maszlee ketika sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang semalam berkata, beberapa inisiatif sedang dilakukan bagi menambah baik tugas para guru di sekolah.

Ia termasuk menghentikan pelaksanaan audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), isu pengawasan peperiksaan pada waktu cuti sekolah, penambahbaikan infrastruktur dan infrastruktur ICT, pengoptimaan perjawatan serta pengisian sumber manusia di sekolah.

-BERNAMA


Pengarang :