GLOBALSUKANKINI

Isu keselamatan halang Mkhitaryan ke Baku

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 MEI: Arsenal akan mengharungi perlawanan akhir Liga Europa menentang Chelsea, minggu hadapan tanpa tonggak tengah, Henrikh Mkhitaryan selepas beliau mengambil keputusan tidak menyertai pasukan demi keselamatannya di Baku, Azerbaijan.

Pemain berusia 30 tahun itu memaklumkan, konflik berterusan antara Armenia dan Azerbaijan membimbangkan dirinya walaupun sudah ada jaminan keselamatan daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

“Selepas mempertimbangkan semua pilihan, kami perlu mengambil keputusan sukar buat saya untuk tidak berlepas bersama pasukan ke perlawanan akhir Liga Europa.

“Perlawanan seperti ini tidak datang selalu untuk kami dan saya perlu akui ia menyakitkan apabila terpaksa melepaskannya.

“Saya akan menyokong rakan sepasukan, ayuh bawa (kejuaraan) pulang,” katanya di laman Instagram micki_taryan.

Sementara itu, Pengurus The Gunners, Unai Emery dilaporkan berkata beliau menghormati keputusan Mkhitaryan walaupun menyifatkan ia berita buruk buat pasukan.

Kredit Foto: Instagram Henrikh Mkhitaryan


Pengarang :