BERITA UTAMA SELANGOR

Isu Taman Air Manis: SELCAT bakal siapkan penyata lengkap

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 8 MEI: Jawatan Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menyiapkan penyata lengkap berhubung projek pembangunan bersepadu di Taman Air Manis.

Pengerusinya, Ng Suee Lim berkata, SELCAT akan membuat penyata lengkap yang mengandungi penemuan isu secara keseluruhan, punca kelemahan dan syor serta cadangan terhadap isu terbabit.

Katanya, penyata terbabit akan dibentangkan pada persidangan dewan pada akhir Julai jika ia sempat disiapkan.

“Inilah cara dan prosedur SELCAT mendendalikan pendengaran awam, tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk merealisasikan praktis semak dan imbang.

“Ia bagi memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan yang lain berjalan dengan telus dan berintegriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi pendengaran awam berhubung isu itu di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berhubung projek terbabit berikutan tiada gerak kerja dijalankan sejak pecah tanah pada 2013.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Perancangan asal pembangunan terbabit adalah berasaskan konsep pembangunan bersepadu, merangkumi Rumah Selangorku serta mempunyai kedai pejabat, stesen minyak dan pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

Pada masa sama, Suee Lim berkata, rumusan awal SELCAT mendapati antara sebab kelewatan pergerakan projek terbabit berpunca daripada kelemahan merancang dan cadangan awal pembangunan yang tidak dibuat dengan teliti.


Pengarang :