NASIONAL

JAIS kesal bulan Ramadan pun ada kes khalwat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 25 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangkap 25 pasangan iaitu 50 individu di atas kesalahan khalwat sepanjang operasi di bulan Ramadan setakat ini.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, ia membabitkan penahanan enam pasangan di hotel dan 19 pasangan di rumah yang merangkumi enam daerah di Selangor iaitu Petaling, Klang, Sepang, Gombak, Hulu Langat serta Hulu Selangor.

Katanya, kesemua yang ditangkap berumur sekitar 25 hingga 40 tahun dan akan didakwa di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Malah, terdapat juga tiga tangkapan di Petaling yang membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 26 iaitu perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah, dua tangkapan di hotel dan satu di pusat urut, katanya.

“Walaupun dalam bulan Ramadan, masih lagi ada tangkapan berkaitan kes khalwat. Saya kesal dan amat mendukacitakan kita, sepatutnya kita menghormati bulan Ramadan, perkara maksiat begini sepatutnya tidak berlaku.

“Hanya dalam tempoh tiga minggu berpuasa, kita menangkap 25 pasangan, jumlah itu agak ramai, malah meningkat berbanding tahun lepas.

“Kita perlu kuatkan lagi dakwah supaya kesedaran masyarakat timbul dan menjauhi perkara maksiat,” katanya ketika sidang media pada Majlis Iftar JAIS, di Hotel De Palma, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sepanjang operasi bulan Ramadan ini sebanyak 77 aduan diterima pihaknya berkaitan pelbagai kesalahan jenayah syariah seperti 43 aduan tidak menghormati bulan Ramadan, 29 aduan berkaitan khalwat, tiga aduan berkaitan kutip derma tanpa kebenaran dan dua aduan berkaitan judi.

“Berdasarkan aduan terbabit, sebanyak 56 tangkapan dijalankan yang merangkumi 25 tangkapan disyaki berkhalwat dan 22 tangkapan terhadap kesalahan tidak menghormati bulan Ramadan iaitu tidak berpuasa yang biasanya dilakukan di kedai tersorok.

“Bagi yang ditangkap atas kesalahan Seksyen 19 iaitu tidak menghormati Ramadan akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, bagi kesalahan kali pertama.

“Jika kesalahan kali kedua, individu terbabit boleh didenda tidak melebih RM2,000 atau dipenjara dalam tempoh tidak melebih setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Orang ramai boleh membuat aduan berkaitan jenayah syariah ditalian hotline JAIS 1-800-88-2424.


Pengarang :