SELANGOR

JAIS serius bendung fahaman liberal

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 13 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertindak serius mengawal penularan ajaran atau fahaman yang secara terang menyeleweng teras agama melalui pemantauan dan siasatan.

Pengarahnya, Dato’ Haris Kasim berkata, tindakan itu diambil selepas wujud radikal feminism yang mempromosikan pelanggaran ijma’ ulama, iaitu ‘dehijabbing’.

Katanya, mereka menggalakkan wanita tidak memakai tudung dengan alasan sebagai hak peribadi.

“Tindakan ini jelas bertentangan dengan Islam. Fahaman seperti ini juga dilihat semakin menonjol dan amat berani memperjuangkan hak kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Mereka ini semakin berani menuntut hak kebebasan mutlak serta memandang enteng hukum syariat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, penyampaian sumbangan dan perasmian masjid, di Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini.

Pada 13 April lalu, program pelancaran buku dan forum berkenaan ‘Wanita Muslim dan Buka Tudung’ diadakan di Petaling Jaya berkisar perkongsian pengalaman tiga wanita bertudung sebelum menemui dunia baharu tanpa tudung.

Pada masa sama, Haris berkata, JAIS mendapati terdapat sebilangan pihak cuba menghidupkan semula ajaran difatwakan bertentangan dengan kesucian pegangan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak seperti Al-Arqam, Ilmu Tarikat Hasan Joned serta ajaran Ghazali Othman.

“Selari dengan perkembangan arus modernisasi, kedudukan agama Islam tidak tertinggal dengan ancaman ajaran sesat mahupun fahaman liberal.

“Justeru, JAIS giat melakukan program kesedaran berkenaan bahaya ajaran sesat ini yang boleh mengancam kesejahteraan umat Islam,” katanya.

 


Pengarang :