SELANGOR

Jangan bela mereka yang ingkar peraturan – Mohd Yasid

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KLANG, 29 MEI: Pemimpin tempatan dalam daerah Klang diseru tidak memihak kepada mereka yang ingkar peraturan, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, ketegasan pemimpin dalam hal itu penting dalam menangani isu seperti kes tapak niaga haram di Simpang 4 Teluk Pulai.

Katanya, lokasi itu menyaksikan semua peniaga terbabit menjalankan aktiviti perniagaan tanpa mendapat sebarang kebenaran daripada MPK.

“Mereka datang dan berniaga sesuka hati sedangkan 1,400 peniaga lain ikut peraturan. (Mereka) mohon, temuduga, isi borang tetapi tiba-tiba (ada peniaga) tak ikut peraturan.

“Jadi saya minta mana-mana pemimpin tidak lindungi mereka yang tidak mengikut peraturan. Kita ada peraturan dan ia mesti dipatuhi.

“Bukan tak mahu beri kerjasama, kita tak boleh benarkan. Kalau kita benarkan satu Klang nanti orang buat ikut suka hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu peniaga yang berniaga secara haram di Simpang 4 Teluk Pulai pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh MPK, di Bangunan Sultan Alam Shah, di sini.

Untuk rekod, MPK meluluskan 35 tapak bazar Ramadan membabitkan 1,767 petak sebelum Ramadan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dan ada juga permohonan tapak daripada pihak tertentu ditolak.

Pada masa sama, Mohamad Yasid berkata, kos penyelenggaraan bazar lebih tinggi daripada jumlah kutipan yang diterima daripada peniaga.

“Kita dapat daripada peniaga lebih kurang RM1.4 juta, tapi kos pembersihan kawasan, bayaran kerja lebih masa kepada pegawai, bil elektrik dan logistik lebih banyak daripada jumlah itu.

“Sebenarnya, kita bukan mencari keuntungan terhadap sewa kepada peniaga, kita nak beri peluang pada peniaga cari rezeki. Kutipan sekadar menampung sebahagian menampung kos penyelenggaraan sahaja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 100 peniaga di Simpang 4, Teluk Pulai menarik nafas lega apabila dibenarkan meneruskan perniagaan mereka oleh MPK sehingga malam raya.

 


Pengarang :