BERITA UTAMASELANGOR

Jangan berpolitik dalam masjid dan surau

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 5 MEI: Pegawai masjid dan surau negeri ini dinasihatkan supaya tidak berpolitik dalam mentadbir dan menguruskan dua institusi umat Islam itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, semua pihak hendaklah menghormati dan mematuhi semua peraturan dan garis panduan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Katanya, ia tidak mengira berlaku di aktiviti ceramah atau bukan ceramah atau tindakan sebahagian pegawai masjid yang meminggirkan ketua kampung sebagai penasihat masjid.

“Malah, Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri menitahkan agar jangan seret masjid berkenaan sentimen politik. Janganlah berpolitik dan nampak berpolitik dalam mentadbir masjid serta surau.

“Saya amat mengharapkan, agar pegawai masjid dan surau di Selangor dapat memandang isu pengurusan masjid dan surau secara realistik.

“Sebagai contoh, jangan benarkan sama sekali mana-mana parti politik dari mengadakan program kepartian dalam masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Menyemarak Ramadan bersama masjid dan surau negeri dan pelancaran Selangor Bertadabbur di Masjid Al Amaniah, di sini.

Hadir sama, Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim.

Amirudin berkata, pegawai dan pengerusi institusi itu perlu mengambil kesempatan untuk menjadikan program menyemarak Ramadan tahun ini sebagai medium penyatuan ummah dan memperkukuh hubungan sillaturrahmi sesama Jemaah.

“Medan penyucian hati (Tazkiatuan Nafs), menghapus dosa, memperbanyakkan ibadah dan merebut sebanyak mungkin pahala dijanjikan Allah S.W.T.

“Keistimewaan Ramadan tidak terdapat pada bulan yang lain. Maka rebutlah peluang terbabit ketika ianya sedang datang bertandang menemui kita,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin turut mahu penceramah dan pentazkirah hendaklah terdiri dari mereka mempunyai tauliah, tidak menyentuh isu politik yang boleh menimbulkan perpecahan, tidak menggunakan khidmat Imam tarawih luar negara dalam tazkirah selepas tamat solat tarawih.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)


Pengarang :