NASIONAL

Jangan kurangkan bantuan, saran ahli akademik

SHAH ALAM, 10 MEI: Kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN) disaran tidak mengurangkan bantuan atau subsidi dalam proses peralihan sekarang bagi mengelak penolakan orang ramai terhadapnya.

“Bantuan-bantuan tersebut sangat bermakna kepada rakyat berpendapatan rendah,” kata Dr Mohd Yusri Ibrahim, pensyarah komunikasi dan juga ketua penyelidik Ilham Centre.

“Kekecewaan rakyat [jika tiada bantuan] akan memberi kesan besar kepada survival kerajaan, apatah lagi bilangan rakyat berstatus B40 sangat besar.”

Dalam wawancara dengan SelangorKini, ahli akademi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu juga berkata kerajaan perlu bersabar apabila sebahagian cadangannya menimbulkan polemik.

“Contohnya kerajaan mungkin mempunyai alasan kukuh untuk meratifikasi konvensyen ICERD, menandatangani Statut Rom, mengiktiraf sijil UEC dan lain-lain.

“Namun, isu-isu tersebut membuka ruang kepada manipulasi pembangkang, dalam masa sama mekanisme kerajaan untuk menangkis sangat lemah.”

Dalam wawancara berasingan, pensyarah kanan sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan pengurangan kos dan memperkenal bantuan dibuat dari semasa ke semasa.

“Ramai yang faham dengan kewangan kerajaan, dan mereka tidak mengharapkan kesemuanya percuma,” kata Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor kepada SelangorKini.

“Namun usaha ke arah itu, contohnya dengan membuat pengurangan harga dan kos seperti bayaran tol atau subsidi minyak perlu dilakukan dari masa ke semasa, tidak perlu dipercumakan secara mendadak melainkan jika kerajaan sudah ada kemampuan. Pengurangan secara beransur-ansur adalah memadai.”


Pengarang :