BERITA UTAMASELANGOR

Jauhi ekstremis, kekalkan keamanan Selangor – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 MEI: Amalan ekstremis yang boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keharmonian masyarakat di negeri ini harus dielakkan serta disingkirkan, kata Dato’ Menteri Besar.

Amirudin Shari berkata, amalan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh menimbulkan suasana tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.

Katanya, kesentosaan dan keamanan yang wujud di Selangor perlu dihargai serta menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikannya berterusan demi generasi akan datang.

“Dalam buku kedua ‘Abbidhamma Pitaka’ iaitu Buku ‘Vibhanga’ perihal 293, kita diberitahu bahawa demi memperoleh maqam kebaikan, maka perlu ada ‘absence of hatred’, ditiadakan kebencian dan untuk itu kita perlu membuang sifat membenci serta berniat jahat.

“Oleh itu, amat mustahak rakyat Selangor menghayati pesan-pesan baik sebegini bagi memastikan kebencian tidak membelenggu kita dan memastikan kemarahan tidak membakar kita serta memastikan kejahatan tidak menguasai kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019, di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta Pengerusi Selangor Buddhist Development Committee, Loka Ng Sai Kai.

Pada masa sama, Amirudin menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan Kerajaan Negeri menjayakan sambutan Hari Wesak peringkat negeri secara berterusan sejak 2011 bagi meraikan dan menghormati masyarakat beragama Buddha

Katanya, ajaran Buddha memberikan perhatian penting terhadap ciri-ciri kesederhanaan dan keharmonian dalam kehidupan seseorang insan.

“Saya rasa ciri-ciri sebegini yang juga wujud di dalam ajaran agama-agama utama di dunia ini perlu didekati dan diamalkan demi kesejahteraan dan kedamaian sejagat.

“Agama Buddha menitikberatkan sifat keamanan dan menolak sebarang kekerasan serta kelakuan ekstrem yang boleh memudaratkan masyarakat selain mengancam keamanan negara,” katanya.


Pengarang :