Jepun sedia sokong usaha Malaysia tambah terbitan bon Samurai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Aishah Amin

Jepun sedia sokong usaha Malaysia tambah terbitan bon Samurai

 

TOKYO, 31 Mei: Pihak Japan Bank for International Cooperation (JBIC) bersedia untuk menimbang bagi menyalurkan sokongan lanjut sekiranya Malaysia berhasrat menambah terbitan bon Samurai pada masa depan, kata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe hari ini.

Ini berikutan kejayaan langkah terbitan bon Samurai bernilai 200 bilion yen (kira-kira RM7.4 bilion) yang dijamin oleh JBIC pada Mac 2019 yang dijangka membantu meningkatkan kemampanan fiskal dan daya tahan strategik Malaysia.


Abe dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadakan mesyuarat dua hala di Pejabat Perdana Menteri Jepun itu di Nagato-cho, Chiyoda-ku, di sini.

Ketika mengulas perkara itu, Dr Mahathir berkata langkah itu akan dapat mempertingkat portfolio kewangan dan meminimumkan risiko pertukaran asing bagi Malaysia.

Menurut satu kenyataan bersama Kerjasama Malaysia-Jepun, kedua-dua pemimpin tersebut turut sependapat bahawa sebarang usaha antara dua kerajaan itu akan menyumbang ke arah memperkukuh kerjasama strategik Tokyo-Kuala Lumpur.

Mesyuarat itu turut mengambil maklum mengenai penyelidikan komprehensif bagi tujuan penambahbaikan aspek pengangkutan di Malaysia yang sedang dilaksanakan oleh satu kumpulan Jepun.

Penyelidikan yang merangkumi pengangkutan darat, laut dan udara serta skop pengangkutan penumpang dan penghantaran kargo, juga dilaporkan berjalan lancar dan laporan akhir dijangka dapat dikemukakan pada Ogos.

Ia antara lainnya menyenaraikan cadangan bagi komposisi optimum pelbagai mod pengangkutan berbeza serta kaedah bagi memaksimumkan penggunaan rangkaian laluan kereta api sedia ada.

Laporan akhir itu juga dijangka menawarkan cara bagi mempertingkat keberkesanan setiap mod pengangkutan seperti rel, jalan raya, lapangan terbang dan pelabuhan serta jaringan kesalinghubungan di antara kesemuanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menyuarakan terima kasih di atas program latihan modal insan bagi jurutera rel Malaysia yang disediakan oleh pihak JR Kyushu dan JR Freight.

Pada mesyuarat itu juga, Malaysia dan Jepun aling mengesahkan kemajuan ke arah penubuhan kampus cawangan sebuah universiti Jepun di Malaysia.

Malah, University of Tsukuba telah menyatakan minat untuk membuka kampus cawangannya di Malaysia.

Apabila siap kelak, ia akan menjadi kampus cawangan pertama universiti Jepun yang dibina di luar negara itu.

Selain itu, Mahathir dan Abe turut memperakui kepentingan menggalakkan kerjasama pertahanan berdasarkan perjanjian sedia ada membabitkan pemindahan peralatan dan teknologi pertahanan selain memorandum kerjasama dan pertukaran dalam bidang itu.

Jepun dan Malaysia juga akan saling bekerjasama merealisasikan kebebasan, keterbukaan, kemakmuran dan kewujudan bersama secara aman berdasarkan kedaulatan undang-undang di wilayah Indo-Pasifik yang merentasi di kedua-dua bahagian Selat Melaka meliputi Laut China Selatan dan Lautan Hindi.

Atas alasan itu, Dr Mahathir menegaskan keperluan mempertahankan keselamatan pengemudian di Selat Melaka dan mendapatkan bantuan Jepun.

Beliau turut menyuarakan minat Malaysia untuk mempelajari selok-belok aspek pengurusan dan respon membabitkan bencana tumpahan minyak dari Jepun.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, telah menaiki pesawat yang berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 3.20 petang tadi waktu tempatan selepas melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Jepun. -BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next