NASIONAL

JKJR periksa motosikal percuma sempena sambutan hari raya

 

 

BATU KAWAN, 27 Mei: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang dengan kerjasama Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) meneruskan kempen advokasi keselamatan jalan rayanya sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarahnya, M. Thurkah Thevi berkata kempen pada kali ini lebih menarik dengan penglibatan 20 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai yang membuat pemeriksaan motosikal percuma.

“Hari ini kita adakan advokasi untuk penunggang motosikal dan pemandu kenderaan. Dalam masa sama kita buat pemeriksaan dan pertukaran topi keledar juga. Bagi penunggang motosikal yang memakai baju gelap kami beri ves keselamatan supaya dia lebih mudah dilihat.

Selain itu, kita juga memberi nasihat dan tip keselamatan kepada penunggang motosikal dan pemandu kereta,” katanya kepada pemberita pada program berkenaan yang diadakan di laluan motosikal Plaza Tol Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini hari ini.

Beliau berkata sempena kempen itu pihaknya menyediakan 10 topi keledar, 15 ves keselamatan dan 150 beg kudap-kudapan yang mengandungi kuih raya, risalah tip keselamatan dan pelekat.

Thurkah Thevi berkata, pelancaran kempen advokasi keselamatan jalan raya peringkat negeri dijadual pada 29 Mei ini di Sungai Dua, Seberang Perai Utara.

Sementara itu, Ketua Jabatan Teknologi Automotif ILP Perai, Khairul Fhazuwan Amanah berkata ini adalah kali pertama pihaknya menyertai kempen itu selepas dijemput oleh pihak JKSB yang melibatkan 20 pelajar Semester 2 bagi Kursus Teknologi Automotif.

Menurutnya, program seumpama ini dapat membantu pelajar menjalankan praktikal pemeriksaan motosikal selain memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka.

“Sebelum ini kita banyak bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan mahupun swasta, tapi ia lebih kepada pemeriksaaan kenderaan. Kali ini adalah kali pertama kami menjalankan pemeriksaan motosikal percuma dengan kerjasama JKJR dan JKSB.

“Kami tiada masalah untuk bekerjasama dengan jabatan dan agensi dalam memberi khidmat komuniti kepada masyarakat dan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata kesemua pelajar itu akan membuat pemeriksaan asas motosikal seperti bateri, angin, tayar, lampu signal dan cermin sisi yang membantu penunggang motosikal terutamanya wanita mengetahui keadaan motosikal mereka. -BERNAMA


Pengarang :