SELANGOR

JKR serah Masjid Al-Raudhah kepada JAIS

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor secara rasmi menyerahkan Masjid Al-Raudhah, Puncak Perdana, Seksyen U10 di daerah Petaling yang siap pada 30 April lalu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Majlis Penyerahan Projek Siap berlangsung penuh sederhana dengan penyerahan replika kunci oleh Pengarah JKR Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz kepada Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim sebagai acara simbolik sambil disaksikan wakil kontraktor, Gabungan APS Holdings Sdn Bhd.

Masjid Al-Raudhah adalah masjid ke 426 di Selangor dan 87 di Petaling dibina dengan kos hampir RM14 juta.

Berkapasiti 2,000 jemaah, ciri masjid ini dilengkapi ruang solat utama, ruang solat limpah, tempat wuduk, tandas, bilik mesyuarat, pejabat, bilik pengurusan jenazah serta menara.

Dalam ucapan aluan, Ruslan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan kepada JKR untuk menyiapkan projek ini walaupun berlaku kelewatan kerana berdepan beberapa masalah teknikal.

“Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa JKR memainkan peranan besar dalam membantu pembangunan negeri khususnya dan negara amnya.

“Kejayaan pembinaan projek ini menjadi kenyataan dengan adanya komitmen tinggi dari semua peringkat pengurusan,” katanya.

Masjid ini akan digunakan secara rasmi buat pertama kali kepada umum untuk Solat Jumaat esok.

 

 

 

 


Pengarang :