NASIONAL

JPN nafi terlibat isu daftar kad pengenalan di Sabah

 

PUTRAJAYA, 23 Mei: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan terlibat dalam isu urusan permohonan daftar kad pengenalan di Sabah yang tular di media sosial baru-baru ini.

JPN dalam kenyataan hari ini berkata beberapa keping gambar borang berkaitan urusan pendaftaran kad pengenalan yang disebarkan adalah bukan dokumen rasmi yang dikeluarkan dan digunakan JPN bagi tujuan pendaftaran.

Sehubungan itu, katanya satu laporan polis akan dibuat berhubung perkara itu dan JPN juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkepentingan lain bagi menjalankan siasatan lanjut.

“JPN meminta orang ramai tidak mempercayai dan menyebarkan maklumat palsu berkenaan, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan gangguan ketenteraman awam,” kata kenyataan tersebut.

JPN turut menegaskan tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang perseorangan untuk mewakili JPN dalam apa-apa urusan.

“Semua dokumen rasmi jabatan ini hanya dikeluarkan di Pejabat JPN dan tidak diedarkan kepada orang ramai dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat berkaitan JPN, orang ramai dinasihatkan untuk hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman sesawang rasmnya di www.jpn.gov.my atau menghubungi unit komunikasi korporat di talian 03-8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau emel ke [email protected]. -BERNAMA


Pengarang :