NASIONAL

JSP1 diperkenalkan, bakal diperluaskan seluruh negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 20 MEI: Pengeluaran makanan ternakan khasnya ayam, Jagungnaut Selangor Premier 1 (JSP1) yang julung kali diperkenalkan bakal diperluaskan ke seluruh negara.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim berkata, beliau mensasarkan projek tanaman itu diperluaskan daripada 54 hektar ketika ini kepada lebih 400 hektar dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Sebelum ini dah ada yang cuba usahakan beberapa pihak tidak berjaya tetapi kali ini merupakan kejayaan paling besar dan akan diperluaskan lagi, kalau boleh kita nak capai lebih 400 hektar.

“Saya sudah pun bincang dengan Perak, Negeri Sembilan dan pemilik ladang berdekatan untuk dijadikan ladang mini kontrak bagi mengusahakan tanaman yang memberi hasil lumayan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Hala Tuju dan Rancangan Strategik Makanan Ternakan Selangor di Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Izham berkata, Kerajaan Negeri juga merancang membangunkan pusat pengeringan dan kilang pengeluaran PSP1 di Selangor dengan Kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Pengurusan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Katanya, projek penanaman PSP1 ini mampu memberi pulangan lumayan kepada pengusaha tanaman ini kerana kosnya jauh lebih rendah berbanding makanan ternakan yang diimport.

Izham berkata, harga pasaran makanan ternakan import berharga di antara RM900 hingga RM1,000 satu tan berbanding kos pengeluaran hanya kira-kira RM500 sahaja.

Katanya, dianggarkan lebih tiga bilion dolar Amerika Syarikat dibelanjakan setiap tahun bagi menampung import bekalan makanan ternakan ayam seluruh negara.

“Ini merugikan negara apabila wang kita banyak keluar negara tetapi dengan projek ini kita boleh kawal sedikit wang kita daripada banyak keluar.

“Selain dapat mengawal harga ayam dan telur yang dijangka kesannya boleh dilihat dalam masa setahun hingga tiga tahun, JSP1 yang dikeluarkan juga lebih baik untuk ternakan kerana lebih segar berbanding makanan import yang biasanya sudah agak lama,” katanya.


Pengarang :