PASIR PUTEH, 21 Mei — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (kanan) memegang padi wangi MRQ76 sempena Majlis Dialog dan Perasmian Tuaian Padi Di Bendang Kolam Tembusu Kedai Menanti Selising hari ini Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa (dua, kanan). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

KADA, MADA diminta tanam padi wangi tempatan

PASIR PUTEH, 21 MEI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meminta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk memulakan langkah penanaman padi wangi tempatan yang bermutu tinggi tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata varieti MRQ76 yang ditanam secara ujian di Kampung Bendang Kolam, Tembusu, Selising di sini membuktikan ia setanding dengan mutu beras dari Thailand dan Vietnam.

“Tanaman peringkat ujian ini telah menunjukkan kejayaan dan hasil kajian membuktikan beras ini bermutu tinggi dan setanding dengan beras import.

“Saya akan mencadangkan agar KADA dan MADA untuk menanam padi ini dalam keluasan yang lebih luas agar beras ini dapat dihasilkan di peringkat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Dialog dan Perasmian Tuaian Padi di sini, petang ini.

Turut hadir Pengerusi KADA Senator Datuk Husam Musa dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Padi Wangi Kelantan, Zailan Awang.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, untuk menggalakkan petani untuk menanam padi wangi ini, kementeriannya akan memberikan subsidi yang sama dinikmati oleh pesawah yang lain.

“Penanam padi wangi ini akan menikmati subsidi yang sama dan ini kali pertama kita perkenalkan kerana sebelum ini penanam padi wangi tidak menerimanya,” katanya.

Salahuddin berkata harga beras wangi ini mampu meningkatkan pendapatan petani kerana harga bagi setiap lima kilogram harganya pada kadar RM40 berbanding beras biasa RM15.

Sementara itu Salahuddin menyambut baik jika ada syarikat yang berminat untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Nasional Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) bagi kepentingan keperluan daging negara.

“Jika syarikat ini dapat penuhi syarat dan akan menggalakkan mereka untuk membuka ladang baharu bagi mencapai objektif menghasilkan kira-kira lebih 30 peratus daging untuk negara.

NFC memaklumkan bersedia dan bersetuju untuk membayar balik baki pinjaman sepenuhnya serta sedang menunggu persetujuan daripada pihak kerajaan.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail berkata ini kerana sejak 25 Okt 2018, NFC sudah mempunyai pembeli baharu yang sedia dan bersetuju bagi membayar balik pinjaman penuh dalam masa tiga bulan daripada persetujuan pihak kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat.

-BERNAMA


Pengarang :