NASIONAL

Kaji semula proses representasi – Badan Peguam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Badan Peguam menggesa pendakwa raya mengkaji semula proses representasi kerana mungkin membahayakan keadilan dan kecekapan dalam prosiding jenayah.

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, prosedur baru yang dimulakan pendakwa raya awal Mei ini juga membawa kepada kesukaran dalam bidang jenayah.

Katanya, proses itu perlu dibaikpulih ekoran keputusan pendakwa raya yang menghentikan atau menarik balik prosiding beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini.

“Badan Peguam menggesa pendakwa raya melakukan kajian lanjutan ke atas prosedur itu demi mempromosikan system pentadbiran keadilan yang cekap dan berkesan.

“Prosedur membincangkan representasi sebaliknya harus dibuat oleh sebuah jawatankuasa. Kes-kes membabitkan hukuman mati boleh dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pegawai berjawatan tinggi di Jabatan Peguam Negara.

“Manakala satu lagi jawatankuasa yang terdiri daripada timbalan pendakwa raya kanan negeri dan pegawai-pegawai kanan dari Putrajaya boleh menangani kes-kes lain,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Fareed berkata, Jabatan Peguam Negara juga tida seharusnya membantah Timbalan Pendakwa Raya yang bersetuju dengan permintaan penangguhan yang munasabah sementara menunggu hasil pertimbangan representasi sesebuah jawatankuasa.

Terdahulu, dalam satu pekeliling baru-baru ini, Peguam Negara Tommy Thomas, yang juga pendakwa raya berkata, prosedur baru untuk mempertimbangkan representasi melibatkan peguam cara negara III, peguam cara negara II dan peguam cara, adalah ‘berlapis-lapis’ dan akan ‘mengambil masa’.

Beliau juga berkata, tidak perlu penangguhan perbicaraan sementara representasi sedang dipertimbangkan.

Peguam, mewakili orang yang dituduh, membuat representasi kepada pendakwa raya untuk menarik balik atau mengurangkan dakwaan berdasarkan fakta dan keadaan tertentu.

Permohonan sedemikian dibuat kepada peguam negara yang mempunyai budi bicara bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding dalam kes jenayah.

 


Pengarang :