NASIONAL

Kajian: Guru tetap disanjung walaupun sistem pendidikan dikecam

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Para guru masih tetap dipandang tinggi dan dihormati rakyat Malaysia, walaupun sistem pendidikan negara sentiasa mendapat kecaman.

Prof Datuk Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menjalankan kajian berhubung keyakinan rakyat terhadap guru mendapati, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan umur menyanjung dan menghormati profesion perguruan.

“Ini adalah satu kejutan kerana terdapat kebimbangan mengenai persepsi umum mengenai sistem pendidikan yang merosot di Malaysia,” katanya yang menjalankan kajian dengan rakan penyelidikan Azrul Hisyam Wakichan.

Kajian yang bermula pada 2016 hingga suku pertama 2019 itu adalah sebahagian daripada kajian berterusan berhubung isu semasa negara untuk mengukur sentimen rakyat berkenaan kepentingan nasional.

Keputusan itu adalah daripada temu ramah bersemuka dengan 6,914 responden berumur 21 hingga 51 tahun.

Sehingga 80 peratus responden dari pelbagai kaum dan kumpulan umur menyatakan keyakinan kuat mereka dalam profesion perguruan.

“Berjuta-juta generasi muda Malaysia pergi ke sekolah dan keluarga mereka menyerahkan takdir anak-anak mereka dalam pendidikan kepada guru. Mereka menyedari bahawa masa depan anak-anak mereka terletak pada guru yang baik dan pengorbanan yang dilakukan golongan pendidik ini.

“Terdapat guru yang berkorban dengan mengajar di kawasan pedalaman dan mempunyai kemudahan yang terhad.

“Gaji mereka mungkin tidak tinggi tetapi pengorbanan yang mereka sumbangkan kepada negara dan anak bangsa tidak ternilai,” kata Syed Arabi, mengapa kerjaya sebagai pendidik masih tetap dipandang tinggi oleh masyarakat.

-BERNAMA


Pengarang :