SELANGOR

Kajian: Lebih 90% sokong kempen tanpa beg plastik

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 16 MEI: Kesedaran bahawa beg plastik penyumbang besar terhadap pencemaran alam sekitar dialam kalangan penduduk Selangor berada di tahap tinggi.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, hal ini berikutan lebih 90 peratus penduduk bersetuju dengan kempen tidak menggunakan beg plastik di pasar raya yang dilancarkan sebelum ini.

“Kerajaan Negeri dan Merdeka Centre bekerjasama menjalankan kajian dan mendapati lebih 90 peratus rakyat Selangor terima polisi bebas plastik yang dijalankan.

“Kita juga menjalankan pelbagai kempen kesedaran kepada rakyat dan kesannya kebanyakkan mereka sedar kesan plastik kepada alam sekitar seperti kepada sungai dan binatang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Bazar Ramadan Mampan Majlis Daerah Kuala Selangor Tahun 2019 di Tapak Bazar Ramadan Saujana Utama di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, dalam kajian sama juga menunjukkan sebanyak 20 peratus penduduk Selangor bersetuju dengan caj 20 sen yang dikenakan terhadap penggunaan beg plastik.

Katanya, kajian itu membuktikan bahawa isu polisi itu tidak mendapat sokongan rakyat tidak timbul sama sekali.

Ketika menyentuh kempen Bazar Ramadan Mampan, Loy Sian menggesa orang ramai membawa bekas makanan sendiri untuk membeli makanan di Bazar Ramadan.


Pengarang :